Pengenalan
Pengurusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu pengurus , organisasi dan tatacara atau garis panduan pengurusan.
Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubungkait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan oleh pengurus yang adakalanya bertindak sebagai ‘master-mind’ dan pada satu keadaan yang lain pengurus juga bertindak sebagai pelaksana.
Sebagai ‘master-mind’, pengurus bertindak memimpin kelompok subordinat yang bertindak menterjemah segala visi, misi dan objektif dalam bentuk perlaksanaan yang akan dijalankan mengikut jadual perancangan yang digariskan. Usaha untuk mengarah dan memantau perkembangan proses perlaksanaan dikendalikan oleh pengurus dengan dengan pendekatan yang subjektif berdasarkan gaya kepimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi yang unik dan tersendiri.
Sebagai pelaksana pula, pengurus bertindak membimbing dan pada masa yang sama bergerak seiring bersama subordinat untuk melaksanakan visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan.
Sama ada sebagai ‘master-mind’ mahupun pelaksana pengurus harus bertindak berdasarkan tatacara dan garis panduan yang ditetapkan. Garis panduan atau tatacara berkenaan sama ada berasaskan contoh dan garis panduan dari organisasi lain, mahupun idea pengurus itu sendiri, ataupun ia digubal dengan persetujuan kolektif antara pengurus dan subordinat.
Pengurus biasanya mempunyai kuasa bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawabnya mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsinya mengetuai subordinatnya. Kuasa diperolehi samada sumber perundangan sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan yang digubal semasa organisasi ditubuhkan atau kuasa diberikan dengan persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi tersebut. Kuasa yang ada pada pengurus secara idealnya dibayangi oleh etika yang sekiranya dikendalikan dengan baik dan menghormati ‘the spirit of ethic’ akan menjadikan pengurus dilihat mengemudi organisasinya dengan adil, penuh hormat dan berwibawa
Definasi: Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu.
Kata kerja mengurus (management) berasal dari bahasa
Itali ‘maneggiare’ iaitu
‘menangani’ dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin – ‘manus’ (tangan). Perkataan
bahasa Perancis ‘mesnagement’ telah
banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris ‘management’ pada
abad-abad ke 17 dan 18.
Merujuk kepada Ensiklopedia Bebas Wikipedia, ‘pengurusan terdiri
daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu
atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan mengharmonikan
kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringya merangkumi
sumber – sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi.
Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang
menjalankan fungsi pengurusan’.
Mary Parker Follet (1868 -1933) menyatakan bahawa
pengurusan ‘adalah
sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Free-Content
Encyclopedia Wikipedia menyatakan pengurusan boleh ditakrifkan berdasarkan
fungsinya sebagai ‘tindakan untuk mengukur sesuatu kuantiti pada
tempoh-tempoh yang tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubahsuai rancangan
asal ataupun tindakan untuk mencapai maklumat yang dirancang’.
James A.F Stoner & Charles Wienkel menyatakan bahawa ‘pengurusan adalah proses
merancang, mengorganisasi , memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi
dan menggunakan sumber-sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat
organisasi yang ditetapkan’.
Wan Azmi Ramli merumuskan pengurusan adalah aktiviti
perancangan dan pergerakan atau panduan oleh sesuatu perusahaan atau organisasi
berhubung dengan segala kaedah-kaedah, peraturan-peraturannya, juga
tanggungjawab dan tugas-tugas kakitangannya itu.
Sejarah Awal Pengurusan
Secara umumnya sejarah pengurusan bermula seiring dengan
perkembangan manusia dari sebuah keluarga yang besar dan membentuk sebuah
perkampungan dan komuniti yang melibatkan pengurusan kawasan setempat dan
akhirnya pembentukan dan pengurusan sebuah negara bangsa.
Mana-mana tamadun yang wujud di dunia pasti dikaitkan
dengan sistem pentadbiran dan kaedah pemerintahan yang membolehkan ketua negara
dan dinastinya meneruskan kesinambungan sebuah tamadun hingga ke saat akhirnya.
Dengan adanya sistem pengurusan mereka mampu menguruskan perbendaharaan serta
mengawal hasil mahsul negara, mengekalkan keadilan dengan pengurusan sistem dan
badan kehakiman dan pengurusan ke atas upacara keagamaan atau adat istiadat
rasmi di istana.
Seawal 8000 SM para paderi dari Ur telah menyimpan rekod
aktiviti perniagaan, rekod lain dan peraturan pengurusan di atas kepingan tanah
liat yang dibakar. Tamadun Sumeria mempunyai sistem demokrasi yang amat
tersusun berdasarkan teks-teks yang ditemui di Telloh (Lagash) dab Fara
(Shurappak). Sumber tenaga kerja didaftarkan dan kemudian dibahagi-bahagikan
dalam pelbagai badan awam. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Raja Hammurabi dari Babylon pula memperkenalkan kod
Hammurabbi yang mengandungi 285 undang-undang yang turut merangkumi
perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan pengurusan, perdagangan dan
kewangan.
Di Mesir, dinasti yang memerintah kerajaan Mesir Tua dengan
diketuai oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya menyimpan rekod pengurusan
pembinaan pyramid, sphinx dan pelbagai kompleks makam mereka di atas daun
papyrus yang telah diproses. Pembinaan piramid setinggi 20 hingga 25 tingkat
dengan 2.5 juta blok batu ini memerlukan sistem pengurusan yang cekap dan
sistematik untuk menguruskan kira-kira 100 000 orang pekerja setiap masa.
Sistem pengurusan Negara kota dalam Tamadun Yunani pula
mempamerkan sistem pentadbiran Negara yang tersusun. Plato mengutarakan
pendapatnya dalam bukunya ‘Law’, bahawa setiap kota secara idealnya mempunyai
5040 orang. Athens yang merupakan salah satu negara kota Yunani yang terkenal
ditadbir berdasarkan sistem ala republik. Pemerintahan Athens dikendalikan oleh
3 buah institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis, Majistret & Juri.
(Sivachandralingam & Ayadurai)
Maharaja Diolectian dari Rom (248M) telah menyusun semula
pentadbiran Rom bagi membolehkannya mengawal keseluruhan empayar Rom yang luas
dan terbentang dari Asia Barat hingga ke Eropah. Melalui kaedah pengurusannya,
beliau membahagi-bahagikan empayarnya kepada beberapa daerah dan diketuai oleh
seorang gabenor. Gabenor ini diberikan kuasa pemerintahan yang melibatkan
hal-ehwal awam kecuali kuasa ketenteraan dan model Diolectian ini mirip sistem
organisasi dan kerajaan berpusat. (Jaafar, Mohd Hizam & Zafir)
Tokoh-Tokoh Pemikir Dalam
Bidang Pengurusan
Tokoh-tokoh awal yang menyumbang idea tentang pengurusan
dengan mengutarakan pendapat yang menyatakan bahawa menjadi satu perkara yang
umum bagi mana-mana pemimpin pada zaman itu memimpin organisasi mereka secara
autokratik. Misalnya Adam Smith dalam bukunya ‘The Wealth of Nation (1776)
memberikan sumbangan dan pandangannya terhadap konsep pengurusan ekonomi dan
sains politik. Charles Babbage memperkenalkan prinsip pembahagian dan
pengkhususan kerja melalui pengeluaran produk melalui jabatan-jabatan yang
dikhususkan dengan fungsi tertentu dan mengutarakan idea penubuhan ‘line of
production’ dengan penetapan fungsi kerja yang rutin.
Para pengkaji bidang pengurusan pasti biasa dengan
seorang tokoh bernama Frederick Taylor yang digelar bapa pengurusan saintifik.
Antara karya Frederick Taylor mengenai pengurusan yang terkenal adalah Shop
Management (1912), Principles of Scientific Management dan pernah membentangkan
testimoninya di hadapan Jawatankuasa Dewan Khas pada tahun 1912 (Harold Koontz
& Heinz Weirich). Frederick Taylor memperkenalkan sistem ganjaran bagi
pekerja yang telah memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi
masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick
Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan
disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam
jangka masa tertentu . Frederick Taylor turut memperkenalkan sistem waktu rehat
berjadual bagi membantu mengurangkan kepenatan bekerja.
Henry Gantt pula membuat kajian ke atas teori yang
diperkenalkan oleh Frederick Taylor dan mendapati teori ini kurang memberikan
penekanan terhadap aspek kemanusiaan. Henry Gantt yang terkenal dengan sistem
Carta Gantt memberikan penekanan terhadap perincian dalam jadual tugasan dan
amat relevan hingga kini bagi membolehkan pengurusan menetapkan sasaran dan
tarikh akhir (date-line) bagi
setaip tugasan. Henry Gantt turut memperkenalkan sistem bonus bagi pekerja yang
melepasi sasaran tugasan yang ditetapkan secara harian. Beliau turut menekankan
kepentingan latihan dala memahirkan kakitangan dalam menjalankan tugas.
Frank & Lillian Gilbreths pula banyak memberikan
sumbangan dalam kajian tentang gerakan pengurusan saintifik. Melalui buku
tulisan mereka bertajuk ‘The Psychology of Management’ (1912), Lilian telah
memberikan penekanan tentang aspek kebajikan pekerja secara individu selain
hasil hipotesis atas kajiannya tentang ‘kelesuan dan gerakan kerja’. Frank
memberikan tumpuan ke atas kajian yang menjurus kepada teknikl yang sesuai untuk
meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kelesuan dikalangan pekerja akibat
tekanan dan tempat kerja yang tidak kondusif.
Henry Fayol dianggap sebagai pemikir Teori Pengurusan Moden
dan antara karya beliau yang terkenal adalah ‘Administration Industrielle et
Generale (1916). Beliau memberikan penekanan kepada fungsi organisasi.
Menurutnya fungsi organinasi ini haruslah mantap dan berkemampuan untuk
menggerakkan organisasi untuk mencapai objektif yang ditekankan. Henry Fayol
memperkenalkan 14 prinsip pengurusan yang wujud dalam sesebuah organisasi
seperti berikut:-
1. Pembahagian Kerja
2. Autoriti & Kewibawaan
3. Disiplin
4. Penyelarasan Arahan
5. Seorang Ketua Bagi Satu Organisasi
6. Mementingkan Kehendak Masyarakat Daripada
Kehendak Individu
7. Ganjaran Berbentuk Gaji
8. Pemusatan Kerja/Kuasa
9. Hirarki
10. Kebolehan Sesuai Dengan Tugas
11. Persamaan
12. Kestabilan Kerja
13. Inisiatif @ Daya Usaha
14. Espirit De’ Coup
